Salam

Wednesday 13 December 2017

Aku Redha....

Keadaan tubuh badan suamiku yang semakin susut pada pertengahan tahun 2016 menjadi tanda tanyaku. Apakah mungkin penyakit kencing manisnya ..namun bukan itu sebabnya. Di awal bulan November 2016, kami dikejutkan dengan perkhabaran buruk. Rupa-rupanya suamiku menghidap barah usus. AllahuAkbar.. Tiada siapa yang menjangkakannya. Duniaku berubah sama sekali namun aku redha dan menerima ujian ini.. semoga Allah memberi kesembuhan dan menguatkan semangat suamiku dan seluruh ahli keluargaku. Bermulalah pemeriksaan dan rawatan demi rawatan.. pembedahan telah dijalankan pada 14 November mengambil masa 8 jam. Bahagian usus yang diserang kanser dipotong dan dibuang,, selepas seminggu, berlaku kebocoran pada usus dan pembedahan kali ke 2 dijalankan selama 6 jam... Post yang masih draft ini kubuka kembali..... dan pada hari ini aku tak sanggup utk menyambungnya kerana... Pada tanggal 16 Mei 2017 adalah hari guru. Sebagai guru aku sdh tentu merasakan tarikh keramat itu memberi seribu pengertian sebagai guru namun pada pagi itu aku kehilangan suamiku... Allah telah menjemputnya kembali. Aku redha Ya Allah kerana setelah 30 tahun usia perkahwinan kami, Engkau telah mengambil hakMu kembali. Tapi izinkan aku Ya Allah, untuk menitiskan airmata kerana hatiku sebak menahan sayu dan hingga kini aku sangat merinduinya... Ya Allah yang Maha Mengampuni dan mengasihi , Ampunilah segala dosa suamiku, rahmatilah dia dan tempatkanlah di kalangan orang-orang yang beriman. Al Fatihah.